
Waktu aku sedar dari pembedahan jam telah menunjukkan 3 petang dan aku masih belum menunaikan solat zuhur. Solat itu wajib dilaksanakan selagi seseorang itu sedar dan bernyawa. Tidak kira waktu sihat atau sakit atau di dalam perang. Kaedahnya sahaja yang berbeza.
Sejurus selepas pembedahan aku tidak dibenarkan turun dari katil selama 4 jam. Bermakna aku harus menunaikan solat di atas katil hospital itu. Aku yakin Islam adalah agama yang mudah diamalkan di dalam sebarang keadaan. Dalil-dalil di bawah adalah buktinya Islam mempermudahkan ibadah untuk orang yang mempunyai keuzuran.
Firman Allah swt:-
لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا
"Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya." - [al-Baqarah 2:286]
Imran ibn Husain ra berkata :-
"Rasulullah saw bersabda kepadaku : Solatlah sambil berdiri, jika tidak mampu solatlah secara duduk, jika tidak mampu, solatlah secara mengiring" [Hadith Riwayat al-Bukhari #1117]
Di riwayatkan oleh Jabir ra. bahawa Nabi saw telah bersabda kepada seorang yang sakit yang bersolat menggunakan bantal untuk ruku' dan sujud,
صلِّ على الأرض إن استطعت ، وإلا فأومِ إيماءً ، واجعل سجودك أخفض من ركوعك
"Solatlah di atas bumi jika kamu mampu, jika kamu tidak mampu, gerakkan sahaja kepala kamu, dan jadikanlah sujud lebih rendah dari ruku'" [Hadith Riwayat al-Baihaqi dengan Isnaad yang kuat]
Andai kata sakit tersebut pada ketika itu teruk sangat, salah satu kaedah solat bagi mereka yang uzur adalah menjamakkan solat, Anda boleh melakukan Jama' Takhir didalam keadaan ini, contohnya melakukan solat Zohor dan Asar di waktu Asar. Kedua-dua solat ini TIDAK boleh di QASARkan (pendekkan), misalya lakukan Zohor 4 rakaat dan Asar 4 rakaat.
Nabi saw memberi izin kepada seorang wanita yang menghadapi istihaadah menjamakkan solatnya sebagaimana didalam hadith riwayat Abu Daud (#287) dan al-Tirmudzi (#128). Imam Ahmad mengatakan bahawa ini merupakan dalil membenarkan seorang yang sakit menjamakkan solat, malah mengatakan bahawa kesukaran orang yang sakit lebih teruk daripada keadaan orang yang bermusafir. [Kashshaaf al-Qinaa' (2/5)].
Rujukan:
http://soalsolatumum.blogspot.com/2009/01/keutamaan-utk-solat-ketika-sakit.html
Apabila tidak boleh turun dari katil bagaimana untuk berwuduk?
Aku telah terlebih dahulu telah menyediakan air mutlak yang diletak di dalam bekas spray untuk berwuduk. Bagi kaki yang disimen aku melalukan air di bahagian atas simen.
Ulama sepakat berpendapat bahawa menyapu di atas balutan kerana patah atau luka ketika berwudhuk atau mandi junub , hukumnya adalah harus.
Dalilnya sebuah hadis dari Ali bin Abu Talib r.a :
انْكَسَرَتْ إِحْدَى زَنْدَيَّ فَسَأَلْتُ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَمَرَنِي أَنْ أَمْسَحَ عَلَى الْجَبَائِرِ
“Salah satu pergelangan tanganku telah patah , lalu aku bertanya kepada Nabi saw (cara bersuci).Baginda saw memerintahkan ku supaya menyapu di atas balutannya.
(HR Ibn Majah : 649)
Jumhur ulama (Maliki , Syafi’ie dan Hanbali) mengatakan bahawa hukum menyapu di atas balutan anggota yang patah atau cedera adalah wajib.Ini kerana seseorang itu wajib menggunakan air semaksimum yang mungkin (merata / menyampaikan air keseluruh tubuh badan / anggota wudhuk) ketika berwudhuk atau mandi junub.Sekiranya ia tidak dapat berbuat demikian maka wajiblah ke atasnya untuk menyapu air di atas balutan yang membalut anggota wudhuk tersebut.
Rujukan:
http://al-ahkam.net/forum09/viewtopic.php?f=94&t=38789